Selamatkan FGV, buang semua lembaga pengarah infomalay12.blogspot.com

Untuk menyelesaikan kemelut Felda Global Holdings Berhad (FGV), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa menyingkirkan semua pengerusi dan ahli lembaga pengarah badan itu yang didakwa meneruskan legasi Tan Sri Isa Samad.
Penasihat Suara Generasi Kedua Felda (SGK2F) Datuk Zulkefli Nordin berkata pengerusi FGV ketika ini, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob pula tidak membersihkan ahli lembaga pengarah FGV seperti yang diharapkan.
"Pada peringkat awal semasa beliau baru dilantik, saya beri sepenuh kepercayaan untuk buat perubahan di FGV. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
"Kami rasa terkilan dengan apa yang berlaku di FGV sekarang. Kalau dulu bila Tan Sri Shahrir Samad ambil alih Felda, alhamdulillah, beliau buat perubahan yang amat drastik.
"Dia bersihkan ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation (FIC).
"Tetapi ini tidak berlaku di FGV apabila pengerusi baharu dilantik. Beliau mengekalkan beberapa nama yang mempunyai sejarah kontroversi," katanya pada sidang media di Hotel Grand Season Kuala Lumpur hari ini.
Krisis FGV tercetus selepas lembaga pengarah, yang diketuai oleh Isa mengarahkan presiden dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad, bercuti kerana didakwa gagal mematuhi peraturan urus tadbir korporat.
Zakaria kemudian menuduh lembaga pengarah cuba membuat urusan pelaburan yang "tidak masuk akal", tetapi telah dinafikan oleh lembaga tersebut.
Sulaiman pula dilantik menjadi pemangku kepada jawatan Isa.
Perdana Menteri kemudian menugaskan bekas menteri, Datuk Seri Idris Jala untuk menyiasat kemelut itu, yang berakhir dengan menyerap Isa ke Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Zakaria menghadapi prosiding tatatertib.

Subscribe to receive free email updates: