Pemuda Harapan menyasarkan untuk membuka sebanyak sejuta peluang pekerjaan pelbagai sektor kepada golongan belia dalam tempoh lima tahun pertama pemerintahan Pakatan Harapan.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata, peluang pekerjaan berdasarkan model Ekonomi Insani itu akan memastikan upah yang adil dan saksama dengan persekitaran ekonomi semasa.
"Pemuda juga menekankan kepada aspek ekonomi penjagaan (care economy) bagi merangsang peluang pekerjaan di semua peringkat.
"Kami juga menawarkan gaji minimum RM1,500 kepada rakyat Malaysia jika Pakatan Harapan diberi mandat di Putrajaya selepas PRU-14 ini," ujarnya.
Beliau pada sidang media Pemuda Harapan hari ini menyifatkan kadar gaji minimum sedia ada tidak setimpal dengan kenaikan kos hidup pada masa ini.
"Bagi kami kadar (gaji minimum) pada masa ini berjumlah RM1,000 tidak mencukupi. Kami menawarkan kadar gaji minimum RM1,500 sebagai gaji yang munasabah untuk rakyat berhadapan dengan kenaikan hara barangan yang membebankan.
"Kenaikan gaji di negara ini begitu rendah iaitu sekitar 2.3 peratus berbanding Indonesia (4.6 peratus), Thailand (3.5 peratus), Vietnam (5.6 peratus) dan Filipina (2.5 peratus)," jelasnya.
Selain itu, Pemuda Harapan, ujarnya, mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Perundingan Gaji melibatkan pihak majikan, kerajaan dan pekerja.
"Kita mahu kesatuan sekerja dikukuhkan dan mempunyai autoriti untuk pihak kerajaan dan majikan berunding tentang gaji yang sesuai bagi mengukuhkan kedudukan pekerja di seluruh sektor tanpa kita mengabaikan kemampuan pihak majikan," tambahnya lagi.
Turut hadir sidang media di Wisma Amanah hari ini Ketua Pemuda Amanah, Sany Hamzan; Ketua Angkatan Muda KeAdilan, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Dapsy, Wong Kah Woh.