Bekas naib ketua Umno bahagian itu berkata tindakan ketua pengarah JPB menyalahi etika penjawat awam apabila berkonspirasi dengan orang politik.
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menggesa polis menyiasat ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana membocorkan data peribadi milik Tun Dr Mahathir Mohamad, seperti diakui oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam.Ia selepas Zahid yang kini memangku tugas timbalan presiden Umno, ketika berucap di mesyuarat Umno Kelana Jaya semalam berkongsi maklumat kad pengenalan Dr Mahathir, sambil membacakan nama penuh Dr Mahathir yang mempunyai asal usul India.
“Ketua pengarah JPN beri pada saya maklumat ini. Sebab itu, dia (Dr Mahathir) kata Melayu mudah lupa. Ini yang dikongsi. Ini IC (Kad Pengenalan) biru dia. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. No IC biru dia 2232519. Ini yang dihantar oleh Ketua pengarah JPN kepada saya,” kata Zahid.
Dalam laporan polis dibuat kira-kira 10.30 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Khairuddin yang juga bekas naib ketua Umno Batu Kawan berkata perbuatan Zahid dan ketua pengarah JPB itu menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi dan tidak menghormati undang-undang.
“Data-data peribadi warganegara malaysia tidak boleh dipersendakan atau dizahirkan kepada umum khususnya di dalam program politik,” kata Khairuddin dalam kenyataan.
Menurutnya, penjawat awam yang “berkonspirasi dengan orang politik” untuk menyalah guna data peribadi adalah tidak beretika.
“Ini merupakan perbuatan jenayah yang disengajakan dan tidak harus berulang kembali kerana ianya bakal menghakis keyakinan rakyat pada institusi kerajaan,” kata Khairuddin.
Zahid semalam berkata Dr Mahathir yang mempunyai asal usul bukan Melayu selama ini menggunakan Melayu dan Umno sambil mengkritik masyarakat itu “mudah lupa”.
“Melayu mudah lupa” merupakan ucapan puisi Dr Mahathir yang disampaikan pada Pehimpunan Agung Umno 2001.
“Orang itu yang memperjuangkan agenda Melayu untuk menggunakan Melayu. Bila habis madu, sepah dibuang. Umno ini sebagai madu dan kita adalah sepah yang dibuang,” kata Zahid.