Untuk tujuan memikat hati, Najib Razak ketika tahun-tahun awal menjadi Perdana Menteri pada 2009, selain memperkenalkan slogan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang ditujukan buat seluruh rakyat, juga turut melaungkan peringatan "Rebah Jika Tak Berubah" khusus untuk UMNO dan BN.
Tentang 1Malaysia, yang yang terus tertonjol ke seluruh dunia sehingga sekarang hanyalah 1MDB, sebuah syarikat sarat hutang dan penuh skandal sehingga beberapa negara telah pun mengambil tindakan berkaitan penyelewengan dan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Selebihnya, apa yang tinggal?
Klinik 1Malaysia dikhabarkan hanya ada panadol saja, manakala Kedai Runcit 1Malaysia boleh dikatakan agak lengang, malah kedai runcit biasa lebih lengkap dan menawarkan banyak pilihan. Dihebohkan hanya sardin 1Malaysia yang jelas murah tapi sesuailah pula dengan rasanya yang tiada apa-apa.
Kedai Kain 1Malaysia pula dengar-dengarnya hanya indah khabar dari rupa. Begitu juga dari dari hubungan kaum, di sebalik 1Malaysia yang sepatutnya menyatukan semua bangsa, retorik-retorik bangsa untuk tujuan menang pilihanraya terus bebas berleluasa.
Sebab itu, bukan saja sebutan 1Malaysia tidak lagi kedengaran sekarang ini, malah Najib juga barangkali sudah lupa bagaimana menyebutnya.
Dalam konteks menuntut ahli UMNO segera berubah berikutan keputusan buruk pilihanraya 2008, Najib menyeru agar mereka berubah dengan memberi peringataan, "rebah jika tak berubah."
Buat seketika ungkapan tersebut terdengar begitu mengasyikkan dan memperlihatkan Najib benar-benar seorang Perdana Menteri yang ikhlas mahu membawa perubahan dan memulihkan kekuatan UMNO dan BN, seterusnya dapat membela rakyat serta memajukan negara dengan lebih baik lagi.
Tapi apa jadi akhirnya?
Sementara beliau meminta orang lain berubah menjadi lebih baik dengan harapan UMNO dan kerajaan mendapat penerimaan positif daripada rakyat, beliau sendiri mengubah dirinya menjadi lebih buruk dan lebih banyak menjurus kepada negatif berbanding positif.
Pelbagai segmen pembaziran, suka bermewah, membeli-belah, karenah isterinya Rosmah yang tidak terkawal, berlagak jadi First Lady, mengguna jet sesuka hati dan 1001 macam lainnya yang terdedah adalah antara sebab-sebab keputusan pilihanraya 2013 lebih buruk berbanding 2008.
Hakikatnya, di sebalik menyeru kepada perubahan dan memberi ingatan dengan ungkapan "rebah jika tak berubah", Najib sendiri sebaliknya menunjukkan teladan buruk dengan tidak mahu berubah dan gagal sama-sekali mengajak keluarganya untuk sama-sama menjadi lebih baik.
Lebih dahsyat, di sebalik memberi amaran "rebah jika tak berubah" dan berlaku pelbagai perkara negatif lain, Najib juga membenarkan kemasukan wang RM2,600 juta yang menurut penyiasat antarabangsa adalah berpunca daripada dana 1MDB yang dilencongkan ke dalam akaun bank peribadinya hanya beberapa bulan sebelum pilihanraya 2013.
Mujurlah isu wang RM2,600 juta itu hanya terdedah pada 2015. Jika sebelum pilihanraya 2013 pdrkara itu sudah diketahui rakyat dan menjadi bualan, pastilah UMNO dan BN sudah benar-benar rebah sekarang ini disebabkan angkara Najib itu.
Kini, isu 1MDB dan wang RM2,600 juta terus menghimpit Najib, UMNO dan BN ke dinding yang semakin sempit berikutan ia sudah merebak dengan beberapa negara telah melakukan penyiasatan, ada yang mendenda dan menjatuhkan hukuman serta DOJ dalam proses merampas harta-harta yang dikaitkan dengannya.
Read More / Baca Lagi >>