Kemelut pengurusan atasan Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) kini sudah ke penghujungnya apabila sumber dipetik media menyebut Tan Sri Isa Samad akan digantikan dengan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pengerusi baharu FGV.
Sumber yang dipetik dari BH dan New Straits Times (NST) itu menyebut mengenai pelantikan Dr Sulaiman yang juga Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, FGV dijangka dibuat hari ini.
Sulaiman, 67, tokoh yang berpengalaman luas yang pernah berkhidmat dalam kerajaan selama 38 tahun dengan memegang pelbagai jawatan, termasuk Ketua Pengarah di Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal.
Sulaiman adalah Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Tun Abdul Razak dengan mengajar bidang Ekonomi dan Dasar Awam. Beliau adalah lulusan Ekonomi dari Universiti Malaya sebelum menyambung pengajian di University of London.
Beliau menyempurnakan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Maxwell School of Citizenship dan Public Affairs di Syracuse University, Amerika Syarikat pada awal tahun 1986.
Laporan akhbar BH hari ini yang memetik sumber berkata, kedudukan Isa serta Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad dalam FGV akan ditentukan hari ini. Difahamkan, kerajaan akan membuat pengumuman penting berkaitan krisis melanda FGV dan kedudukan pengurusan tertinggi agensi itu, petang ini.
Hari ini, satu mesyuarat dijadualkan diadakan di Putrajaya untuk membincangkan isu FGV, termasuk laporan disediakan pihak bebas dilantik kerajaan untuk mencari penyelesaian kepada kemelut melanda syarikat perladangan terbesar negara.
Menurut satu sumber, Isa juga dijadualkan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya, hari ini. Sumber itu mengulas khabar angin dan spekulasi bahawa Isa akan digugurkan sebagai pengerusi untuk memberi ruang kepada kerajaan merombak pengurusan tertinggi syarikat senaraian awam itu.
Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim, untuk bercuti, pada 6 Jun lalu.
Read More / Baca Lagi >>