Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengesa kabinet mengambil tindakan terhadap saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat jika benar ia bersifat politik sebagaimana kenyataan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali hari ini.
"Kenyataan Peguam Negara hari ini yang merumuskan bahawa tindakan saman sivil DoJ adalah bersifat politik adalah satu kenyataan yang cukup serius.
"Saya yakin Peguam Negara mempunyai maklumat yang lengkap mengenai isu 1MDB ini – termasuk laporan Ketua Audit Negara yang masih dirahsiakan, serta pasukan siasatan khas PDRM terhadap isu 1MDB ini – untuk membuat rumusan sedemikian," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Apandi hari ini dipetik berkata, DoJ tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan sebarang keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan yang dikemukakan oleh mereka.
Apandi berkata,tindakan DoJ mengemukakan saman sivil terbaharu untuk merampas tambahan aset AS$540 juta yang didakwa diperoleh dengan dana yang diselewengkan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah bersifat politik.
Fahmi menegaskan Apandi perlu menasihatkan Perdana Menteri untuk segera menerbitkan laporan Ketua Audit Negara tersebut agar orang ramai akan dapat memahami isu 1MDB dan saman DoJ, dan tidak meragui kenyataan yang dibuat Apandi sendiri.
"Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia juga tidak boleh bertolak ansur terhadap tindakan mana-mana kuasa asing terutama yang bersifat politik dengan niat mencampuri urusan dalaman negara.
"Oleh itu, dalam mesyuarat kabinet esok, Perdana Menteri Najib Razak serta jemaah menteri perlu membincangkan kenyataan Peguam Negara ini dan segera mengumumkan tindakan diplomatik yang tegas terhadap Amerika Syarikat demi mempertahan martabat dan kedaulatan negara, termasuk dengan memanggil Duta Besar AS ke Malaysia untuk memberi penjelasan, serta mengarahkan Duta Besar Malaysia ke AS untuk pulang segera ke Malaysia," ujarnya yang turut mengingatkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, mengadakan demontrasi di hadapan kedutaan AS sekiranya benar wujud kuasa asing seperti AS yang ingin mencapuri urusan dalaman negara.