Seorang pemimpin PAS Selangor menyifatkan bukan Islam yang menentang syariah tetapi mengunjungi masjid hanya mahu melihat Islam terhad di dalam masjid.
Seorang pemimpin PAS Selangor hari ini berkata mereka yang menentang rang undang-undang (RUU) presiden parti itu untuk mengenakan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah tidak layak mengunjungi masjid.
Setiausaha Dewan Ulama PAS Selangor, Muhammad Najhan Halim bagaimanapun tidak secara langsung merujuk kepada bantahan beberapa NGO pro-Umno terhadap wakil rakyat PKR, Sivarasa Rasiah kerana hadir di program menyerahkan sumbangan dan buka puasa di sebuah masjid di kawasan Parlimennya.Menurut Najhan, masjid hanya berhak diimarahkan oleh mereka yang beriman kepada Islam, dan oleh mereka yang tunduk “sujud” terhadap nilai Islam sama ada dalam bidang “ekonomi, sosial, dan termasuk urusan undang-undang, politik dan pemerintahan”.
“Seorang yang bukan Islam tersebut yang jelas ketika di luar masjid, dialah yang kuat menentang Islam, menghalang usaha memartabatkan Islam, menghina Islam, memperkecilkan Islam dan undang-undangnya, mengajak dan bersekongkol dengan penentang Islam agar masyarakat Islam keliru dengan hakikat Islam yang sebenar, dialah juga kononnya hadir mengajak dan menyeru orang Islam melakukan kebaikan,” tulisnya dalam artikel diterbitkan laman berita PAS, Harakahdaily, di bawah tajuk “Antara ahli parlimen dan imarah masjid”.
“Apakah ini sandiwara? Sepatutnya mereka yang bukan Islam tidak seharusnya menentang Islam, umatnya serta urusannya kemudian datang pula ke masjid dengan menonjolkan diri bahawa mereka juga ingin bersama Islam,” katanya.
Lawatan Sivarasa baru-baru ini ke Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang dipertikaikan beberapa NGO yang mahu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertindak.
Mereka termasuk Kesatuan Melayu Nasional (KMN), Permuafakatan Ayahanda-Ayahanda Semalaysia (Permas), Wakil Penduduk Kota Damansara dan Pertubuhan Aduan Masyarakat dan Pengguna Selangor (PAMPS).
Susulan itu, Pengarah Jais Datuk Haris Kasim berkata tindakan Sivarasa memberikan ucapan di hadapan jemaah turut tidak disenangi Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Read More / Baca Lagi >>