SHAH ALAM - Individu yang terlibat dengan majlis berbuka puasa yang digelar sebagai Big Gay Iftar baru-baru ini perlu bertaubat di atas tindakan mereka tersebut.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Ramadan sepatutnya dihormati bukan mencemarinya dengan menganjurkan program lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Menganjurkan program berbuka puasa itu tak ada masalah tapi nampaknya apa yang mereka lebih tonjolkan itu adalah LGBT.
“Tindakan mereka amat dikesali kerana seperti yang semua maklum LGBT adalah bercanggah dengan Islam,” katanya, semalam.
Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata, Mapim menegaskan sebarang perkara berkaitan dengan Islam tidak boleh disalahgunakan untuk perkara bertentangan dengan agama suci ini.
“Ini kerana implikasinya nanti orang akan nampak seperti menghina agama,” katanya.
Mohd Azmi turut menyarankan pihak berkuasa mengadakan pertemuan dengan penganjur program terbabit bagi meminta penjelasan lanjut mengenai perkara itu.
Tambahnya, langkah tersebut dapat memberi kefahaman kepada pihak penganjur bahawa tindakan mereka adalah salah dan boleh dikenakan hukuman sewajarnya.
“Mungkin orang lihat penganjuran ini tidak akan mempengaruhi mana-mana pihak namun pelaksanaan program ini sebenarnya telah menunjukkan bahawa gerakan LGBT semakin menular di negara ini,” katanya.