Sekilas pandang, media pro-kerajaan kelihatan lebih teruja memainkan isu tersebut kerana ia mampu mencerminkan keretakan dalam pakatan pembangkang dalam memilih calon perdana menteri yang akan mengemudi negara untuk tempoh lima tahun, demi memberi kelebihan kepada BN.
Bagi mempertahankan BN, media pro-kerajaan akan berhempas-pulas untuk menunjukkan betapa Pakatan Harapan akan ‘menghancurkan’ negara dengan ketiadaan perpaduan dan persepakatan dalam menjalankan tugas memajukan negara dan memakmurkan rakyat.
Itu dakyah BN untuk menyorokkan kelemahan sendiri, sekaligus merendah-rendahkan kemampuan pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya selain menuduh parti komponen pakatan pembangkang sebagai anti-Islam, anti-Melayu, pro-Kristian dan segala bentuk perkauman lain.
Hakikatnya, sesiapapun jua tetapi pastinya tokoh pembangkang Melayu seperti yang disepakati semua, sama ada pemimpin dari PKR ataupun BERSATU yang akan diangkat menjadi perdana menteri, pemimpin nombor satu Malaysia itu tidak lagi menjalankan tugasnya dalam kerangka politik seperti yang diamalkan Umno pada masa ini.
Kelemahan sistem PM sekarang
Pada masa ini, dalam BN, Umno mendominasi kerajaan dan semua parti komponen perlu bersetuju untuk melantik sesiapa jua yang menjadi presiden Umno untuk diangkat menjadi PM selain turut membenarkan kebanyakan kementerian dikuasai oleh pemimpin Umno, walaupun terpaksa melantik mereka yang di kalangan tidak berapa bijak.
Selain itu, semua parti komponen perlu akur, tunduk dan mendapatkan restu Umno dalam mengambil sebarang tindakan termasuk strategi parti dan pemilihan pimpinan utama selain segala tindakan presiden Umno perlu disokong walaupun secara membuta-tuli.
Namun, kerangka pemilihan PM pakatan pembangkang sangat berbeza kerana, siapapun jua yang menjadi perdana menteri akan ‘diawasi’ oleh semua parti komponen yang boleh diumpamakan ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’.
Maknanya, Pakatan Harapan tidak akan menjadi seperti BN yang memberikan kuasa dominan kepada Umno untuk terus berkuasa dan mentadbir negara walaupun sehingga ke tahap mengheret nama Malaysia dalam kancah yang cukup memalukan seperti yang berlaku sekarang.
Dalam hal ini, semua sedang melihat bagaimana parti komponen utama seperti MCA dan MIC terpaksa akur, tutup mulut dalam segala perkara angkara parti dominan walaupun berdepan kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India yang kian menyusut.
Keadaan sama turut meresapi sayap pemuda dan puteri Umno yang sepatutnya lantang bersuara, berpegang kepada kebenaran dan menyampaikan aspirasi warga muda, tetapi terpaksa menikus dan menuruti kehendak bos-bos atasan kerana khuatir hilang jawatan, kontrak dan sebagainya.
PM ketujuh ‘terkawal’
Dalam Pakatan Harapan, keadaan seperti itu adalah mustahil untuk berlaku kerana jika PM dari PKR atau BERSATU ini ingin melakukan sesuatu, pastinya perlu mendapatkan restu dan sokongan dari semua parti komponen, bukan satu parti dominan untuk kebaikan semua pihak tanpa mengira kaum dengan satu matlamat iaitu menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.
Read More / Baca Lagi >>