Akan tetapi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini pasti menyukarkan mereka berbelanja kerana perlu memikirkan kos sara hidup yang tinggi apatah lagi jika hanya mengharapkan gaji bulanan yang tidak mencukupi itu.
Menyedari masalah yang di hadapi oleh rakyat, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri sebanyak dua bulan gaji kepada kakitangan kerajaan negeri yang akan dibayar 21 Jun ini.
Beliau berkata seramai 17,703 penjawat awam Selangor bakal menerima bantuan kewangan khas itu yang membabitkan peruntukan RM63.3 juta.
"Ini adalah tanda penghargaan kepada penjawat awam di atas komitmen dan dedikasi mereka dalam memaju dan membangunkan negeri Selangor.
"Dan ini juga adalah berdasarkan prestasi kewangan semasa dan sebab itu kita bersetuju memberikan bantuan ini kepada penjawat awam," katanya ketika berucap pada Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak di sini.
Beliau berharap pemberian bantuan khas itu dapat meringankan beban kewangan penjawat awam negeri bagi persiapan menyambut Aidilfitri.