[MARAN] TEMUI SINAR BAHAGIA infomalay12.blogspot.com


Temui sinar bahagia


Aini insaf dengan perbuatannya, kini bahagia di samping anak dan keluarga pengalaman mengandung dan melahirkan anak, walaupun di luar ikatan perkahwinan tidak membezakan perasaan seorang ibu kepada anaknya, malah kasih sayang tidak berbelah bahagi dicurahkan Aini, 27, kepada anak lelakinya, Alif.

“Alif dilahirkan sebagai anak luar nikah namun saya bersyukur kerana keluarga menerima kehadirannya. Bertungkus lumus keluarga mendapatkan perintah mahkamah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan hak jagaan ke atas anak saya kerana ketika itu saya masih di bawah 18 tahun,” kata Aini ketika ditemui di rumahnya di Maran, semalam.

Dia kini sudah berumah tangga dengan lelaki yang sudi menerima segala kekhilafannya, serta sudi mencurahkan kasih seorang bapa kepada anak lelakinya itu.

Katanya, sebaik saja dimaklumkan yang dia hamil dua bulan, keluarganya cuba berbincang dengan keluarga bekas kekasihnya untuk bertanggungjawab namun, segalanya sia-sia. Kasih diharapkan, kata-kata kesat diterima.

Malah, Aini dituduh menabur fitnah dan sengaja mahukan anak mereka bertanggungjawab.

Bapanya membuat laporan polis dan bekas kekasihnya ditangkap serta dihadapkan ke mahkamah kerana Aini masih di bawah umur ketika itu.

Aini berkata, dia berharap kisahnya itu menjadi tauladan kepada remaja lain.

“Saya seorang anak yang pendiam. Bijak dan selalu mendapat keputusan yang baik dalam pelajaran. Mendapat 6A dalam PMR, saya terpilih ke sebuah sekolah asrama penuh di utara tanah air. Namun ketika itu, saya sudah ada kekasih hati di kampung, membuatkan saya selalu buat hal di asrama hingga digantung sekolah.

“Beberapa kali digantung, akhirnya cikgu mencadangkan kepada bapa saya supaya pindahkan saya ke sekolah biasa.

“Akhirnya saya dapat balik semula ke kampung dan mudahlah untuk saya berjumpa kekasih saya semula. Selama dua tahun berkawan dengannya saya mampu jaga diri namun suatu hari, pada hari raya ketiga di rumah keluarganya, semua itu telah berlaku. Ketika itu keluarganya semua pulang ke kampung.

“Dia pandai memujuk dan tabur janji untuk bertanggungjawab sekiranya apa-apa terjadi kepada saya. Ternyata janjinya itu palsu. Dia tinggalkan saya menanggung malu, menyapu arang dan menyebar aib kepada keluarga,” katanya.

Pada awalnya, setelah mengetahui dirinya hamil, Aini melarikan diri ke sebuah rumah perlindungan wanita-wanita terlanjur di Selangor dengan bantuan seorang rakan.

Namun, menyedari sesuatu yang tidak kena dengan perjanjian pusat perlindungan itu, Aini mengambil keputusan melarikan diri.

“Pusat perlindungan itu berjanji akan menjaga rahsia saya daripada keluarga asalkan saya berikrar bayi saya diserahkan sebaik sahaja dilahirkan. Saya juga akan diberikan sedikit wang apabila keluar nanti, untuk meneruskan hidup.

“Awalnya saya terima kerana saya tiada pilihan. Tapi, sepanjang seminggu berada di sana, saya melihat ramai wanita lain yang menangis dan meroyan kerana melalui tempoh pantang tanpa bayi. Ada yang susu bengkak dan ada yang meratap sepanjang hari. Saya jadi takut dan mula sayangkan anak saya. Jadi saya lari,” katanya.

Akhirnya Aini memilih untuk berdepan dengan keluarganya dan menerima apa sahaja hukuman, asalkan dia dimaafkan.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, pada awalnya dia dipukul oleh bapanya yang tidak menyangka dia tergamak menconteng arang ke muka keluarganya.

Katanya, bagaimanapun akhirnya keluarga berlembut hati dan mahu berjumpa dengan lelaki yang bertanggungjawab menghamilkannya.


Aini tabah membesarkan Alif dengan bantuan ahli keluarganya.


“Jika saya mampu ubah masa silam, saya akan turut semua teguran dan nasihat ibu. Kebodohan diri yang memberontak gara-gara dikongkong akhirnya memakan diri. Walaupun dipukul separuh mati, saya tak berganjak dan akhirnya hati bapa lembut hati. Keluarga terima saya kerana nasi sudah menjadi bubur. Saya minta keluarga bantu kerana saya mahu jaga anak dalam kandungan saya,” katanya.

Aini berkata, dia insaf dengan ketelanjuran di masa silamnya itu yang ternyata mengecewakan keluarga, hinggakan bapanya seperti orang hilang pertimbangan kerana tidak dapat terima hakikat bahawa anaknya mengaibkan keluarga.
Alahan teruk sepanjang hamil

SEPANJANG mengandung, Aini melalui tempoh sukar kerana mengalami alahan teruk.

Katanya, ketika bersalin, dia tumpah darah dan hampir pengsan, malah semasa berpantang, dia seakan meroyan kerana menangisi nasibnya.

“Namun sokongan keluarga sangat kuat. Setiap kali ke klinik atau hospital, kakak ada di sini menemani saya. Dia seboleh-bolehnya jaga supaya tak ada orang sekeliling menyakiti hati saya.

“Sebaik bayi saya lahir dan membesar di depan mata, saya merasai nikmatnya bergelar ibu dan mula faham kasih sayang sebenar ibu bapa. Mereka mengongkong dan menjaga kita hanya kerana tak mahu kita terluka.

“Sekarang anak saya dah berumur sembilan tahun.


Alif kini berusia sembilan tahun dan menerima kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada ibu dan bapa tirinya serta ahli keluarga lain.


Anak yang bijak dalam pelajaran dan dia seakan faham dan pernah bertanya kenapa adiknya berbinkan nama ayah, sedangkan dia bin Abdullah. “Dia juga pernah kata yang dia belajar subjek Sains dan agama dan tahu apa berlaku, cuma dia minta, suatu hari nanti ibu beritahu perkara sebenar,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: