Dalam kenyataannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata ikhtiar itu dilakukan di samping gesaan terhadap Putrajaya untuk memanggil mesyuarat tergempar bagi mengusahakan langkah perdamaian di antara Qatar dan Arab Saudi dan sekutu-sekutunya.
“Saya menggesa Putrajaya untuk memohon diadakan satu mesyuarat tergempar OIC untuk membincangkan langkah dan usaha perdamaian politik dan diplomatik di antara Qatar dan pihak dipimpin Arab Saudi.
“Mesyuarat ini boleh diadakan sama ada di Kuala Lumpur atau kota Kuwait. Putrajaya juga patut pertimbang menawarkan Malaysia sebagai perantara kepada negara-negara Islam yang sedang bertelingkah ini.
“Pada masa yang sama, saya menjemput Setiausaha Agung OIC, Yang Berbahagia Dr. Yousef bin Ahmad Al-Othaimeen, untuk memujuk koalisi pimpinan Arab Saudi untuk pertimbang semula jangkamasa 10 hari yang diberi kepada Qatar untuk memenuhi 13 permintaan koalisi tersebut.
“Adalah diharapkan dengan langkah ini kedua-dua belah pihak boleh mengadakan rundingan dan perbincangan yang lebih membangun dalam usaha mendamaikan keadaan,” katanya dalam kenyataan.
Arab Saudi dan sekutu-sekutunya iaitu Mesiri, Emiriah Arab Bersatu, dan Bahrain menghantar 13 tuntutan untuk dipenuhi Qatar pada Jumaat lalu.
Di antara tuntutan tersebut adalah menutup rangkaian berita Al-Jazeera, menutup pengkalan tentera Turki di Qatar, dan memutuskan hubungan dengan Iran.
Qatar akan berdepan ‘sekatan diplomatik’ jika enggan memenuhi tuntutan-tuntuan tersebut.