Ambiga Sreenevasan berkata keghairahan penyokong mendesak Anwar Ibrahim dijadikan perdana menteri seolah-olah itu sahaja yang dimahukan bekas ketua pembangkang itu.
“Saya tahu Anwar seorang insan yang mendahulukan negara jadi penyokong beliau mesti mendahulukan negara.”
Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) itu berkata pembangkang sepatutnya kemuka formula kemenangan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 dan mengapa rakyat perlu memilih mereka.
“Siapa yang mereka mahu pilih sebagai perdana menteri pada asasnya adalah keputusan mereka tetapi mereka perlu bertenang dan pertimbangkang semula kelakuan mereka. Saya cuma mahu formula kemenangan. Tunjukkan kamu ada strategi dan pasukan untuk menang pilihan raya.”
Beliau mengingatkan pembangkang untuk tidak mengambil mudah sokongan pengundi yang mahukan perubahan.
“Tidak kira betapa tidak cekapnya mereka, kita masih mengundi mereka kerana kita mahu melihat perubahan. Jangan ambil mudah sokongan kami.”
Meskipun begitu, Ambiga menggesa pengundi supaya memilih pembangkang pada pilihan raya nanti.
“Mesti ada perubahan. Saya memilih bukan kerana saya memihak kepada pembangkang tetapi kerana kita tidak lagi boleh kekalkan kerajaan yang sudah lebih 60 tahun memerintah.
“Saya kenal ramai orang yang marah dengan pembangkang dan begitu juga saya, tetapi hanya dengan menyingkirkan BN mereka akan sedar yang mereka boleh disingkir jika tidak baiki diri sendiri.”
Semalam ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Pakatan Harapan belum memutuskan calon perdana menteri mereka untuk pilihan raya umum akan datang.
Read More / Baca Lagi >>