Isa Samad juga perlu berundur
Ibrahim Ali.
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak agar Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Isa Abdul Samad meletakkan jawatan secara sukarela atau bercuti sepanjang siasatan dijalankan terhadap syarikat berkaitan kerajaan itu (GLC).
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, selain Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zakaria Arshad yang diarahkan berehat sepanjang siasatan dilakukan, perkara sama juga perlu dibuat oleh Isa.
"Apa yang berlaku sekarang ini, kedua-dua pihak saling 'tembak-menembak'. Masing-masing mengeluarkan kenyataan terhadap isu yang dibangkitkan.
"Yang terbaik adalah kedua-duanya meletakkan jawatan atau keduanya bercuti rehat sepanjang siasatan dijalankan. Jadi Lembaga Pengarah Felda mahupun FGV harus buat keputusan segera kerana dakwaan yang dilemparkan kepada Zakaria sangat serius," katanya.
Perkasa turut mencadangkan, agar pengurusan FGV diambil alih Felda buat sementara waktu, sehingga isu tersebut selesai.
"Satu jawatankuasa khas terdiri dari pihak Felda, kerajaan dan agensi berkaitan wajar ditubuhkan bertujuan menyiasat punca masalah itu dan mengambil tindakan segera demi menyelamatkan Felda.
"Kita sudah dengar pelbagai isu-isu melanda Felda , tapi segalanya dikatakan hanya fitnah, itu tuduhan palsu tapi akhirnya meletup. Sampai bila isu ini hendak berakhir. Dakwaan ini luar biasa," katanya.
Katanya, siasatan perlu telus dan terbuka serta mendedahkan hasil siasatan kepada Umum.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) juga perlu menyelesaikan segera siasatannya dan tidak bertangguh terlalu lama.
Tambah Ibrahim, perkembangan jenayah kolar putih semakin menjadi-jadi di negara mutakhir ini.
"Dua tiga tahun kebelakangan ini kita mendengar banyak isu. Antaranya Bank Rakyat, isu membabitkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, dan Mara. Isunya tidak reda, tambah parah lagi.
"Saya berpendapat tidak ada jalan lain untuk tangani rasuah selain dari melihat kembali secara menyeluruh semua aspek termasuk pelantikan jawatan penting yang tidak seharusnya bergantung kepada senioriti tapi lebih pada integriti dan amanah," katanya.
Semalam, FGV mengarahkan Zakaria untuk bercuti serta merta bagi memberi laluan kepada siasatan yang dijalankan ke atas pembayaran oleh sebuah anak syarikat.
Sebelum itu, pada perbincangan 31 Mei lalu berhubungan tunggakan oleh pihak Safitex bagi produk-produk yang dibekalkan oleh Delima Oil Products Sdn Bhd, Zakaria diminta Isa agar meletakkan jawatannya atas dakwaan telah melanggar kod tadbir urus korporat.
Bagaimanapun, menurut Zakaria, peletakan jawatan itu tidak wajar memandangkan tiada pelanggaran mana-mana kod tadbir korporat seperti yang didakwa.