Nazri tetaplah seorang Nazri.
Bagi sebahagian orang kelakuan menteri pelancongan dan kebudayaan itu menjengkelkan, tetapi jangan pula dimarah jika ada sebahagian yang lain terhibur dengan kepetahan mulut beliau.
Nazri seorang tokoh yang mendapat pendidikan sebagai peguam. Maka apa hairannya apabila beliau lincah berkata-kata dan selalunya bersahaja pula. Tajam menikam kata-katanya - itu antara kelebihan anggota parlimen Padang Rengas itu.
Nazri bukan tokoh yang baru dalam dunia politik. Sebelum ini namanya dikenali sebagai tokoh pemuda Umno walaupun tidak pernah menjadi ketua pergerakan itu.
Malah bagi sesetengah orang kisah beliau pada zaman pemuda dulu seakan-akan sebuah legenda urban yang berwarna-warni.
Menteri-menteri lain bolehlah menjadikan beliau sebagai suri teladan bagi mendepani pembangkang dari segi dan arah mana pun.
Apabila beliau mengkritik seorang daripada menteri kabinet Sarawak kelmarin, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Dia juga menggunakan bidalan semasa mengkritik itu.
Kalau dibandingkan dengan bidalan-bidalan semasa politik, rasanya ia jauh lebih murni daripada kata-kata kesat dan kejam sesetengah orang di pentas ceramah.
Nazri pernah terbukti begitu berterus terang dan 'kasar' apabila mahu berdepan dengan bekas ketuanya di kabinet suatu ketika dulu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jika dikenang ke masa tidak berapa lama dulu, putera sultan pun Nazri tidak hairan untuk berbalah, apa sangatlah dengan seorang wakil rakyat.
Isu cukai pelancongan - juga sama seperti isu-isu melibatkan kepentingan umum yang lain - wajar dibahaskan dengan terbuka dan berani jika pun tidak secara jantan.
Kata kuncinya ialah: berbahas. Kita tidak perlukan - misalnya - orang gedebe seperti Leman Kampung Kelabu Asap untuk melempang sesiapa yang tidak bersetuju dengan pandangan seseorang menteri.
Kita juga mungkin tidak perlukan - misalnya - pegawai askar Wataniah yang terpaksa berpantun untuk menyampaikan maksud di hati.
Apa yang diperlukan ialah keterbukaan minda dan kepala yang dingin.
Jika ada pihak yang berasa anak jantan itu tersilap, maka betulkanlah dengan hujah yang jantan juga. Mengelak dengan mengalihkan isu bersandarkan kata-kata "semangat kekeluargaan BN" misalnya tidak membantu meleraikan kemelut yang melanda.
Ia kira-kira sama seperti menyapu debu, sampah dan kotoran ke bawah tikar. Masalah tidak selesai, cuma tidak nampak buat seketika pada mata.
Read More / Baca Lagi >>