Menghukum kesemua umat Islam sebagai pengganas adalah tidak tepat dan tidak adil, manakala menghukum semua bukan Islam sebagai 'musuh Islam' dan 'anti-Islam' juga tidak tepat dan tidak adil.
Sehubungan itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad menasihati rakyat negara ini agar mengambil iktibar daripada tragedi yang berlaku di Portland, Oregan, Amerika Syarikat apabila dua lelaki bukan Islam terbunuh dan seorang lagi cedera parah akibat diserang kerana mempertahankan kehormatan dua wanita muslim.
"Walaupun imej Islam, khususnya di Amerika, begitu terpalit dengan tindakan golongan 'pengganas Islam', tiga lelaki ini menyedari bahawa pengganas yang mengganas atas nama Islam, kononnya, tidak mewakili semua orang Islam. Dan dua wanita berkenaan, walaupun beragama Islam, tidak wajar diherdik dan dicaci sebegitu rupa.
"Tindakan mereka bertiga, yang mampu membezakan pengganas dari umat Islam secara amnya, harus dicontohi semua," ujar beliau.
Dalam kejadian di Portland, Oregon pada Jumaat, 26 Mei lalu, tiga lelaki bukan Islam yang berusaha melindungi dua wanita Islam daripada diganggu seorang lelaki dalam sebuah tren penumpang telah ditikam.
Lelaki yang menimbulkan ketegangan dan menikam ketiga-tiga lelaki tersebut kemudian melarikan diri dan akihirnya ditahan polis.
Suspek akan dihadapkan ke mahkamah di bawah tuduhan membunuh.
Dua lelaki yang mati ditikam dikenali sebagai Rick Best, seorang bekas tentera Amerika yang telah beristeri dengan 4 anak dan Namkai Meche, 23, seorang graduan.Lelaki ketiga, Micah Fletcher, 21, pekerja di sebuah kedai pizza sedang dirawat di hospital dengan kecederaan parah.
Menurut Khalid, hasil tindakan berani tiga lelaki bukan Islam itu, dua wanita Islam berkenaan terselamat dari gangguan dan ancaman.
"Mereka bertiga tidak mengenali dua wanita Islam itu. Mereka bukan beragama Islam dan mungkin juga tidak sebangsa, namun mereka sanggup membela kehormatan dua wanita Islam tersebut," ujarnya.
Beliau memberi contoh bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. telah menunjukkan bagaimana bukan Islam boleh bersikap adil dan melindungi umat Islam.
"Raja Najasyi di Habsyah yang beragama Kristian telah menjadi tempat berlindungnya umat Islam dalam peristiwa Hijrah pertama.
"Malahan dewasa ini, berapa ramai umat Islam telah berhijrah mendapat perlindungan di negara-negara Eropah dan Amerika? Dalam banyak keadaan, mereka berhijrah melarikan diri dari pemimpin zalim yang beragama Islam," tegas beliau.
Menurutnya, sikap menghukum keseluruhan bukan Islam sebagai 'musuh Islam' dan menanam kebencian terhadap mereka adalah punca berlakunya tindakan keganasan.
Turut dihukum, tambah beliau adalah mereka yang dikatakan 'berlembut' dengan bukan Islam yang dilihat menggadai kepentingan agama.
Read More / Baca Lagi >>