Wanita yang dinamakan Rafizi sebagai pengarah sebuah syarikat yang didakwa membuat bayaran RM1 juta kepada pelobi Washington hari ini tampil menafikannya.
PUTRAJAYA: Wanita yang dikaitkan Rafizi Ramli dengan Godfrey Group Ltd, syarikat yang dikatakan membayar RM1.07 juta kepada seorang pelobi Washington, berkata ia merupakan kesilapan identiti di pihak naib presiden PKR itu.“Saya bukan individu itu dan saya tidak ada kaitan dengan mana-mana parti politik. Saya hanya seorang ahli perniagaan,” kata Florence Goh yang memperkenalkan dirinya sebagai pemilik CRT Insights Technologies Sdn Bhd.
Goh, yang ditemani Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata tuduhan Rafizi mengancam keluarga dan perniagaannya.
“Saya berharap pihak berkuasa akan membantu saya kerana saya tidak bersalah,” katanya.
Wee berkata Rafizi dalam kenyataannya menggunakan nama Cina wanita itu, Goh Siew Boey, syarikat miliknya bersama butiran pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, menurut dokumen SSM yang ditunjukkan Rafizi, alamat syarikat CRT Insights didaftarkan Jalan Molek 2/1.
“Rafizi perlu periksa fakwa sebelum membuat tuduhan melulu,” kata Wee.
Wee menunjukkan dokumen SSM yang menunjukkan nama Florence Goh tetapi dengan nama Cina lain.
“Sebagai ahli Parlimen, beliau boleh mendedahkan apa-apa sahaja, tetapi janganlah mangsakan mereka yang tidak berdosa,” kata Wee.
Goh hari ini menuntut permohonan maaf daripada Rafizi yang juga wakil rakyat Pandan.
Menurutnya, selepas Rafizi mengaitkannya dengan Godfrey, beliau dihubungi rakan niaganya dari luar negara bertanyakan sama ada dakwaan itu benar.
“Saya sepatutnya menyambut ulang tahun ke-10 syarikat saya apabila masalah ini timbul,” katanya yang turut tidak menolak memfailkan saman.
Read More / Baca Lagi >>