Pesuruhjaya Singapura menjawab tuduhan akhbar itu yang berkata dasar meritokrasi adalah helah mengenepikan masyarakat Melayu negara itu.
PETALING JAYA: Singapura menolak kritikan Utusan Malaysia mengenai layanan sama rata kepada rakyatnya, selepas akhbar pro-Umno itu mempersoalkan dasar meritokrasi republik itu yang menurutnya adalah helah melemahkan kuasa politik penduduk Melayu di negara itu.Dalam jawapan balas kepada ruang analisis Mingguan Malaysia di bawah nama samaran “Awang Selamat”, Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Vanu Gopala Menon mempertikaikan tuduhan akhbar itu, sebaliknya berkata komuniti Melayu di Singapura mencapai pelbagai kemajuan di bawah dasar sama rata.
“Meritokrasi merupakan tiang utama dalam sistem pentadbiran Singapura. Rakyat kami tidak kira bangsa, bahasa dan agama, menerima akses sama rata, dan dasar kami ditentukan bagi mencapai tujuan itu.
“Masyarakat Melayu Singapura mencapai pelbagai kemajuan sosial dan ekonomi dalam 5 dekad lalu, bukan kerana diberikan keistimewaan, tetapi atas usaha mereka sendiri dalam sebuah masyarakat adil dan saksama,” kata Menon dalam suratnya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, Singapura juga melarang keras rakyatnya termasuk media daripada “memainkan isu kaum, bahasa dan agama untuk memecah belahkan masyarakat kami”.
Ahad lalu, “Awang” – nama samaran sidang pengarang Utusan Malaysia -mengalu-alukan langkah melantik presiden dari kalangan masyarakat Melayu di republik itu, tetapi berkata dasar meritokrasi tidak menguntungkan mereka.
Merujuk kritikan beberapa ahli politik republik itu terhadap langkah tersebut, akhbar itu mendakwa usaha Perdana Menteri Lee Hsien Loong melantik presiden Melayu adalah demi menarik sokongan kepada parti pemerintah.
“Awang hanya senyum kerana meritokrasi sentiasa dijadikan helah mendiskriminasi Melayu di republik itu.
“Semua orang tahu meritokrasi juga terdedah kepada manipulasi. Ramai masih ingat bagaimana parti pemerintah, People’s Action Party (PAP) sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sokongan masyarakat Melayu pada awal pembentukan negara itu. Selain jawatan Presiden, jumlah anggota Kabinet juga signifikan dan banyak elemen lain yang meyakinkan,” katanya.
“Namun apabila masa berlalu Melayu kian lemah dan tersisih daripada koridor kuasa. Maka inilah yang Hsien Loong mahu sedikit sebanyak perbetulkan, yang Awang hargai.”
‘Presiden untuk semua’
Bagaimanapun, Menon berkata walaupun pindaan dibuat terhadap perlembagaan Singapura bagi memastikan presiden dilantik daripada pelbagai kaum, seseorang calon itu masih perlu memenuhi syarat kelayakan.
Read More / Baca Lagi >>