Muhyiddin terkenang nostalgia bersama Dr Mahathir, Anwar infomalay12.blogspot.com

Bekas timbalan perdana menteri itu merupakan menteri belia dan sukan dalam Kabinet Dr Mahathir dan Anwar pada 1990-an.
MuhyiddinPresiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengalu-alukan barisan kepimpinan Pakatan Harapan, dengan berkata ia membawa kembali kenangan ketika bersama kerajaan yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kini, kami kembali bertaut semula dalam saf perjuangan politik baharu bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul dan membina semula negara ini sebagai sebuah negara yang sejahtera dan dihormati oleh dunia,” kata bekas timbalan perdana menteri itu yang dilucutkan jawatannya pada 2015 selepas mempersoalkan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Muhyiddin merupakan menteri belia dan suka ketika Anwar menjadi timbalan perdana menteri di bawah Kabinet Dr Mahathir dari 1993 hingga 1998.
Kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar melupakan sengketa mereka secara rasmi pada tahun lalu, 18 tahun selepas Anwar dipecat Dr Mahathir pada September 1998.
Semalam, Pakatan Harapan yang menggabungkan PKR, DAP, Amanah dan PPBM secara rasmi mengumumkan barisan kepimpinannya, dengan Anwar sebagai ketua umum manakala Dr Mahathir sebagai pengerusi.
PH juga melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR sebagai presiden, dibantu oleh 3 timbalan presiden, Muhyiddin, Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah).
Muhyiddin berkata beliau percaya gandingan Dr Mahathir dan Anwar akan mampu menggerakkan PH pada pilihan raya akan datang bagi memenuhi beberapa janjinya seperti yang disenaraikan dalam pengumuman semalam.
“Ini termasuk menghapuskan GST, mengawal kenaikan harga barang, memerangi rasuah hingga ke akar umbi dan melakukan reformasi institusi termasuk menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja,” katanya.

Subscribe to receive free email updates: