Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff berkata selepas 22 bulan meraih kuasa sebagai sebuah kerajaan, rakyat menjadi saksi Pakatan Harapan (PH) adalah pengkhianat sebenar kerana dilihat gagal menjaga kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu.
PH juga bidasnya adalah pengkhianat kepada mandat rakyat kerana gagal melaksanakan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“PH turut terpalit dengan imej sebuah kerajaan yang gagal kerana prestasi ekonomi, perpaduan kaum dan kesejahteraan rakyat berada pada tahap yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas mengenai situasi politik semasa, tambah Apli, setelah runtuhnya kerajaan PH dan terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN), pihak pembangkang yang terdiri daripada parti Dap dan sekutunya telah kembali ke lumrah mereka dengan melaungkan pelbagai tohmahan dan fitnah kepada individu mahupun parti di dalam kerajaan.
“Pengkhianat adalah ungkapan yang paling kerap dilontarkan, dengan dakwaan terdapat individu yang mengkhianati PH dan kerajaan PN telah mengkhianati mandat rakyat selepas PRU-14.
“Kleptokrasi adalah tohmahan yang turut didendangkan kembali dengan merujuk kepada pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menjalani proses perbicaraan di mahkamah,” katanya.
Ulasnya juga, pendirian ‘anak jantan’ Najib dan Ahmad Zahid yang mahukan kes-kes mereka diteruskan tanpa ‘campur tangan’ pihak tertentu adalah sikap bermaruah walaupun pentadbiran PH sebelum ini banyak melakukan pendakwaan terpilih serta banyak kes melibatkan pemimpin PH digugurkan seperti kes Lim Guan Eng.
Justeru itu katanya, rakyat telah menilai pemerintahan PH adalah kerajaan yang gagal, maka hormatilah mandat pembentukan kerajaan PN untuk membina semula malaysia yang telah rosak sepanjang pemerintahan PH.
“Keputusan untuk meruntuhkan kerajaan PH sebenarnya adalah penyelamat kepada rakyat dan negara dalam pelbagai aspek,” ujarnya lagi.