Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Eropah (UE) kononnya bagi memantau pilihan raya di negara ini.
Najib berkata, sistem yang diamalkan badan pengendali pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sistem yang telus, justeru ia tidak memungkinkan penipuan boleh dilakukan.
Malah Najib berkata, sistem yang sama juga telah digunapakai ketika era Dr Mahathir, sehingga pemimpin berkenaan diangkat menerajui negara selama 22 tahun.
"Kita tak anggap luar biasa..tapi sesuatu yang aneh sebab sistem yang diamalkan SPR hari ini adalah sistem yang sama yang telah mengangkat Dr Mahathir selama 22 tahun.
"Malah sistem kita hari ini telah pun diperkukuh menjadi lebih telus dari dulu.. kita ada polling agent, counting agent, sistem dakwat. Jadi peluang utk menipu boleh dikatakan tak ada langsung. Bagaimana mereka kata pilihan raya ini kononnya tak adil?," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn di sini semalam.
Najib berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pertemuan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr Mahathir bersama 16 duta negara (EU) baru-baru ini di ibu negara.
Pertemuan itu bagi menggesa duta EU digesa supaya memberikan tekanan kepada Najib untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) secara bersih dan adil.
Ia berlangsung di kediaman Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez.
"Soalnya kenapa selama 22 tahun dia tak komplen sistem pada masa itu, dan sistem itulah sistem yang sama kita amalkan malah lebih baik dari dulu," tegas Najib lagi.
Dalam sidang media yang sama, Najib turut ditanya sama ada parti serpihan, PPBM mampu menggantikan peranan Umno dalam tampuk pemerintahan negara.
Sambil menyindir, Najib berkata kecelaruan yang berlaku dalam parti itu khususnya kritikan daripada akar umbi terhadap kepimpinan dan parti itu sendiri, sudah cukup menunjukkan sejauh mana kemampuan parti teraju Dr Mahathir itu.
"Kalau ambil dari segi prinsip perlembagaan, kalau kita dah buat perlembagaan sendiri, kita kena patuh perlembagaan kita. Tapi saya diberitahu bahawa peringkat cawangan dan bahagian tak buat mesyuarat, alih-alih peringkat nasional ada perhimpunan dan kita tak tahu dari mana perwakilan datang...bagaimana mereka pilih perwakilan.
"Jadi maknanya pengurusan parti sendiri boleh dipersoal dari segi perlembagaan yang mereka sendiri tentukan dan diluluskan mereka sendiri. Apakah ini petanda kemampuan mereka untuk menjalankan tanggungjawab yang lebih besar?," soalnya.