Azmin enggan ulas dakwaan Muhammad Taib, sebaliknya mempertikaikan kewibawaan bekas menteri besar itu untuk bercakap mengenai agenda Melayu.
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali enggan ulas dakwaan Tan Sri Muhammad Muhd Taib semalam yang beliau menyertai Umno semula disebabkan pembangkang tidak memperjuangkan agenda Melayu.Sebaliknya, beliau mempertikaikan kewibawaan bekas menteri besar Selangor itu untuk bercakap mengenai agenda Melayu.
“Saya ingat Tun Dr Mahathir Mohamad jawab semalam, apa yang berlaku di Australia itu perjuangan Melayu?” soal Azmin, dalam rakaman yang diterima FMT.
Beliau merujuk kepada kontroversi membabitkan Muhammad, yang melepaskan jawatan menteri besar pada April 1997 selepas didakwa di Australia atas pertuduhan membuat pengisytiharaan palsu, membabitkan wang berjumlah RM3.8 juta.
Muhammad dibebaskan mahkamah selepas memberi alasan tidak tahu berbahasa Inggeris dan tidak memahami peraturan mengenai mata wang.
Muhammad, 72 meninggalkan Umno untuk menyertai PAS pada 2013 dan PKR pada 2015. Muhammad di sidang media mengumumkan kepulangannya ke pangkuan Umno semalam berkata beliau meninggalkan pembangkang kerana mereka tidak peduli kepada agenda Melayu.
Read More / Baca Lagi >>