Isu timbunan hutang peneroka adalah sesuatu yang diketahui umum. Jumlahnya bukan sahaja mencecah RM100,000 seperti disebut mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir; di Kota Tinggi pada 15 julai lalu, bahkan ANAK boleh buktikan di sesetengah felda sedang menghampiri RM170,000!
Sebagai Pengerusi Felda sejak 6 Jan 2017 lalu, seharusnya TS Shahrir beroleh gambaran tepat mengenai jumlah hutang 94,956 orang peneroka. Apabila hutangnya besar, tempoh membayar balik memakan masa hingga 20 tahun. Kadangkala, belum merasa lega atau merdeka dari bebanan hutang, proses tanam semula berikutnya bermula, dimana hutang baru khususnya pinjaman sara hidup antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan dibuat hingga tempoh 7-8 tahun.
Justeru, insentif yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri mengenai pelupusan hutang bernilai RM5,000 seorang peneroka dan dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula berjumlah RM300 juta bagi tempoh lima tahun antara 2017-2021, bagi melupuskan hutang kos operasi,melebihi jangkaan RM40,000; tidak akan menyelesaikan derita dan sengsara peneroka mengenai beban hutang yang terlalu tinggi.
ANAK konsisten mencadangkan:
1. Melupuskan hutang peneroka sekurang2nya 50% seperti dalam penyata Kos Tanam Semula,
2. Mansuhkan faedah 6.25% atas pinjaman seperti dalam perjanjian Tanam Semula,
3. Mengkaji semula terma hutang pembangunan ladang seperti baja( mahal tetapi didakwa tidak berkualiti), kos penyelenggaraan ladang dan pinjaman persendirian seperti pembesaran rumah yang mengenakan kos perkhidmatan 2.5%.
4. Mempercepatkan proses Tanam Semula dari kerja penebangan, penyediaan tapak nurseri, menanam benih dan penyelenggaraannya. Proses tanam semula yang lambat@tidak efisien; menyebabkan Kos sara hidup meningkat.
Adakah TS Shahrir maklum, ada kes yang diadukan kepada saya, beserta penyata yang dilampirkan, ada peneroka yang terpaksa menanggung kos faedah atas pinjaman sahaja bernilai RM47,000!
ANAK sependapat dengan pengumuman YAB Perdana Menteri mengenai pembentukan geran khas tanam semula peneroka yang diluluskan Lembaga Minyak Sawit Malaysia( MPOB)kepada Felda hingga tahun 2020. Ia telah diperjuangkan ANAK sekian lama dan perjumpaan dengan pengurusan MPOB pun telah dibuat sebelum ini. Soalnya, mengapa setakat tahun 2020 sahaja?
ANAK ingin mengingatkan TS Shahrir, selagi mana isu hutang dan pendapatan peneroka tidak ditangani secara menyeluruh dan mekanisme yang betul, gesaan terhadap 17,000 peneroka felda yang melaksanakan kebun secara bersendirian , agar kembali bersama Felda, dalam tempoh 6 bulan ini, tidak akan berkesan.
Jika mereka bebas dari hutang dan beroleh pendapatan lebih baik, apa alasan untuk mereka bersama Felda?
Read More / Baca Lagi >>