Pengarah Pilihan Raya Amanah Selangor, Jaafar Samsudin berpendapat usaha menambah pengundi baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) penting untuk meminimumkan kesan pertembungan tiga penjuru.
Berkongsi pengalaman Selangor, beliau berkata, langkah yang disifatkan sebagai tanggungjawab utama jentera pilihan raya itu selaras dengan ketetapan Biro Pilihan Raya Amanah Nasional.
"Kita (Amanah Selangor) sasarkan lagi 100,000 pemilih baharu. Kalau kita boleh tambah di setiap Dun (Dewan Undangan Negeri) antara 3,000 sehingga 5,000 pengundi baharu kita boleh menampung kesan yang dikatakan tiga penjuru.
"Ini adalah keutamaan kerja kami. Setakat ini, lebih 200,000 pengundi sudah didaftarkan dengan kerjasama Unit Pendemokrasian," jelasnya dipetik dari akhbar Amanah Edisi 60, 23 Julai - 29 Julai.
Sehubungan itu, beliau menganggap pertandingan tiga penjuru yang menjejaskan pencapaian blok pembangkang sebelum ini tidak lagi signifikan pada PRU-14.
"Pada pandangan BPR (Biro Pilihan Raya), faktor pertandingan tiga penjuru pada PRU-13 memang menjejaskan kita di Selangor tetapi kita melihat tidak pada pilihan raya akan datang.
"Selangor dengan kerjasama semua parti dalam Pakatan Harapan melakukan tindakan yang lebih ke depan termasuk pendaftaran pengundi baru. Kita terus daftarkan pengundi baharu selagi tarikh pilihan raya belum diumumkan," ujarnya yang menerajui urusan daftar pemilih Amanah Nasional.
Jaafar ketika berucap dalam Konvensyen Pilihan Raya Amanah Nasional di Shah Alam baru-baru ini turut menyeru sistem semakan e-voters yang menggabungkan semakan senarai pengundi dengan e-profil dimanfaatkan.
Read More / Baca Lagi >>