PSM tidak melihat Dr Mahathir sebagai jawapan kepada segala kesalahan pentadbiran Najib.
Oleh S. Arutchelvan
Ramai yang salah faham atau buat tidak faham apabila PSM menentang Tun Dr Mahathir Mohamad.
PSM tidak menolak Dr Mahathir kerana kami suka bermusuhan, suka balas dendam, tidak tahu memaafkan orang, sudah makan dedak Datuk Seri Najib Razak atau sebab lain yang cuba digambarkan oleh mereka yang tidak suka dengan posisi PSM.
PSM hanya bertanding kurang 3% kerusi Parlimen dan 3% kerusi DUN seluruh negara, maka 97% kerusi bukan di bawah sebarang pengaruh kami.
Tuduhan kami akan pecahkan undi dan lain-lain hanyalah untuk mereka yang tidak faham matematik.
PSM menentang Dr Mahathir kerana pegangan dan posisi beliau dalam pelbagai isu. Sistem dan instutusi korup yang dibawa oleh Dr Mahathir kini disempurnakan lagi oleh anak didiknya bernama Najib.
Antara isu zaman Dr Mahathir adalah:
i. Pengswastaan kemudahan awam, pembukaan tol kepada syarikat Umno.
ii. Penggunaan undang-undang zalim seperti ISA, Akta Percetakan.
iii. Pendirian perkauman.
iv. Isu pekerja, gaji minima, kesatuan sekerja.
v. Penahanan musuh politik termasuk Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Nasir Hashim.
vi. Melemahkan institusi kehakiman, perundangan, polis dan lain-lain.
vii. Sistem kroni dan “bail-out” syarikat milik anaknya, isu Perwaja, skandal tukaran asing.
viii. “Projek IC”.
Rakan seperjuangan kami dalam menentang semua isu ini dulu adalah DAP, PKR dan lain-lain.
Adakah posisi mereka dengan semua perkara diatas kini sudah berubah? PSM masih berpendirian posisi kami dulu dan sehingga sekarang masih sama.
Namun hari ini, Dr Mahathir tidak pernah mengatakan beliau salah dalam mana-mana satu isu di atas dan tidak pernah sekali dalam ratusan sidang akhbar dan ceramah beliau mengatakan beliau sudah insaf atau meminta maaf.
Beliau hanya berkata beliau silap memilih Najib, sebagaimana beliau silap memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sekarang beliau dianggap sebagai “top dog” untuk Pakatan Harapan. Adakah ini bererti semua posisi yang diambil dulu oleh beliau betul?
Read More / Baca Lagi >>