Pengarah Strategi Amanah itu berkata ketua pemuda Umno sedar siapa pengkhianat parti dan negara jika beliau seorang patriot.
PETALING JAYA: Dr Dzulkefly Ahmad menyeru Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mencabar “bosnya” jika beliau seorang patriot dan setia kepada parti.Merujuk kritikan Khairy terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai orang yang sanggup mengkhianati parti demi kuasa, pengarah strategi Amanah itu berkata satu-satunya orang yang mengkhianati Umno ialah penyandang jawatan presiden sekarang.
“Tindakan Khairy menuduh Pakatan Harapan ‘gila kuasa’ benar-benar tak tentu arah dan tidak munasabah. Menuduh Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim mengkhianati Umno demi kuasa untuk diri mereka, jelas tidak mengikut rekod sejarah.
“Ia juga secara tidak sengaja berbalik kepada bosnya,” kata Dzulkefly, merujuk kepada presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Semalam, selepas melancarkan mesyuarat Umno Bahagian Kepala Batas, Khairy terus menyerang barisan kepimpinan PH.
“Prinsip Pakatan Harapan bukan demi masa depan negara tetapi bekerja demi kuasa masing-masing. Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim bekas pemimpin Umno dan kini mereka dalam usaha memecahkan Umno dan orang Melayu.
“Kita tidak boleh ada kerajaan yang ditubuhkan atas asas dan prinsip nak kuasa, sebab itu bukan asas kepada mana-mana parti yang menubuhkan kerajaan,” kata Khairy lapor Bernama.
Dzulkefly juga mencabar Khairy untuk menyelamatkan Umno dengan melawan Najib.
“Jika beliau benar-benar mencintai dan tidak mahu mengkhianati partinya, beliau mesti melawan Najib, sekarang. Itu tindakan seorang negarawan cemerlang dan patriot tulen.”
Read More / Baca Lagi >>